www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Wednesday, June 3, 2009

Mutiara Iman Edisi 582 CIRI-CIRI ORANG BERIMAN

by Wnahar

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Sabda Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : " Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berbuat baik kepada jiran tetangganya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah menghormati tetamunya. " (HR al-Bukhari dan Muslim)


Ulasan Hadis:
1. Hadis ini mengandungi nilai peradaban Islam yang tinggi dan sopan santun yang terpuji.
2. Setiap orang yang beriman tentu akan menggunakan pengajaran peradaban ini untuk keselamatan dirinya dengan memelihara perkataan, menjaga hubungan baik dengan jiran-jirannya dan sahabat-sahabatnya serta memuliakan mereka sesuai dengan keadaan masing-masing.
3. Menjaga tutur kata merupakan adab yang sangat dititik beratkan oleh seorang mukmin. Imam Syafie pernah menyatakan, "Apabila ada seseorang dikalangan kamu yang ingin berkata-kata maka hendaklah dia berfikir terlebih dahulu. Apabila ternyata perkataannya itu tidak mendatangkan bahaya kepadanya maka teruskanlah. Tetapi, apabila sebaliknya, maka lebih baik dia berdiam diri."
4. Rasulullah SAW juga menyatakan didalam hadis ini bahawa diantara tanda-tanda seseorang itu beriman kepada Allah SWT adalah dia memuliakan jirannya. Islam sangat menekankan semua umatnya agar menghormati jiran mereka dengan tanpa mengenal bangsa dan agama. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jibril sentiasa berpesan kepadaku (akan perlunya menghormati jiran) sehinggakan aku menyangka bahawa mereka berhak didalam harta perwarisan." (HR Aisyah dan Ibnu Umar)
5. Selain itu, melayani tetamu adalah salah satu dari amalan yang dimuliakan oleh Islam. Didalam Islam, kita diwajibkan melayani tetamu sekurang-kurangnya selama sehari semalam. Para ulama menyatakan bahawa layanan itu termasuk makan, minum dan penginapannya.
6. Justeru, marilah kita berusaha untuk menghiasi diri kita dengan adab-adab kesopanan yang telah dianjurkan oleh Islam. Semoga Allah mempermudahkan kita semua, insyaAllah.

No comments: