www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Wednesday, June 3, 2009

Mutiara Iman Edisi 587 (Kehilangan yang disayangi)

by Addawrah

عن أبى هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: يقول الله تعالى: ما لعبدى المؤمن عندى جزاء إذا قبضت صفيّه من أهل الدنيا، ثمّ احتسبه إلا الجنّة

Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda; ALLAH SWT berfiman: " Tidak ada balasan daripadaku melainkan syurga, terhadap seseorang hambaKu yang mukmin, apabila Aku mematikan seseorang yang disayanginya( anak, adik beradik dan kaum keluarga) dikalangan ahli dunia, kemudian dia mengharapkan pahala daripadaKu.".
(Riwayat Bukhori)


Ulasan Hadis :
1. Hadis ini menerangkan kepada kita tentang ganjaran yang bakal disediakan bagi seseorang hamba yang bersabar terhadap ujian kematian orang-orang yang disayanginya, lalu ia bermuhasabah mengharapkan pahala ALLAH, maka ALLAH mengurniakannya SYURGA.
2. Ujian dunia yang paling menyedihkan hati, ialah apabila kita hilang sesuatu yang kita sayang, samaada kehilangan jiwa yang kita sayang, kehilangan harta benda, pekerjaan dan sebagainya. Adalah sesuatu yang amat sukar untuk kita sabarkan hati kita di saat menerima musibah pertama kehilangan sesuatu yang kita cinta dengan penuh redha, kerana ianya adalah fitrah insani yang tidak dapat dipadam melainkan jika benar-benar merasakan bahawa setiap apa yang ada di dunia akan musnah yang kekal adalah ALLAH.
3. Ketika mana ALLAH SWT mengambil nyawa anak Nabi SAW yang bernama Ibrahim, Nabi kita SAW telah menitiskan airmata, lalu Para sahabat bertanya, mengapakah kamu menangis sedangkan kamu melarang menangisi kematian? Lalu Baginda SAW menjawab: "Ini adalah tangisan yang bersifat rahmat daripada ALLAH terhadap hati hamba-hambaNYA, sesungguhnya ALLAH mengasihi hamba-hambaNYA yang pengasih". (harus tangisan seperti ini)
4. Malah diceritakan di dalam riwayat bahawa ketika Nabi SAW wafat, tiada seorang pun dikalangan sahabat Nabi tidak menangis, sehinggakan kota Madinah menjadi suram, Sayyidah Fatimah tidak pernah ketawa semenjak AYAHANDANYA wafat sehinggalah beliau juga wafat setelah 6 bulan kemudian.
5. Ini semua bukti bahawa, kehilangan sesuatu yang kita sayang daripada dunia adalah musibah yang paling menyedihkan, justeru itu hendaklah kita sama-sama BERMUHASABAH tentang diri kita, bahawasanya kita hendaklah sentiasa meletakkan sesuatu yang kita kasih dan sayang hanya kerana ALLAH, dan bersiap sedia untuk menerima ujian dan dugaan yang bakal kita hadapi dengan penuh redha, serta mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang berlaku untuk diri kita.
WALLAHU’ALAM.

No comments: