www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Tuesday, June 30, 2009

Mutiara Iman Edisi 597 (Bangkit Bersama di Akhirat )

by Addawrah

عن عبد الله بن مسعود رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: المرء مع من أحب
(رواه البخارى ومسلم)
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda: " Seseorang itu adalah bersama dengan orang yang ia kasihi".
(Riwayat Bukhori dan Muslim)


Ulasan Hadis :
1. Sesungguhnya di akhirat kelak, kita akan dibangkitkan bersama mereka yang kita kasihi ketika kita di dunia.
2. Seandainya mereka yang kita cintai daripada golongan yang baik, maka dengan bangganya kita di sana nanti akan bangkit dalam kedaan yang tenang dan selamat, manakala jika di dunia kita mencintai orang-orang yang suka bermaksiat, maka kelak di sana nanti kita akan bangkit bersama mereka dengan penuh rasa malu dan hina sekali. NAUZUBILLAH.
3. Sesiapa yang mengasihi suatu golongan dengan ikhlas hati, maka ia akan dihimpunkan bersama mereka. Sekalipun amalannya tidak menyamai mereka, tetapi hatinya telah mendekati. Kemungkinan kasih sayang itu mendorongnya untuk melakukan amalan yang sama.
4. Kita hendaklah mencintai orang-orang yang soleh, serta mengikutinya, meniru gaya peribadi dan kehidupan mereka, kerana mereka adalah golongan yang mencintai ALLAH dan RASUL, bersama mereka boleh menyembuhkan hati kita yang sakit, menyedarkan jiwa kita yang lalai serta memperbaiki akhlak kita yang buruk.
5. Orang-orang yang soleh lagi baik ini, merupakan model yang paling baik untuk kita contohi, ibarat penjual minyak wangi, apabila berkawan dengannya maka kita juga akan mendapat tempiasan baunya. Begitulah jua sebaliknya.
6. Dewasa ini, manusia tidak mahu mencintai golongan orang soleh, tidak mahu mendekati, malah yang dicintai adalah golongan ahli maksiat, berhati-hatilah, agar kita tidak menyesal di sana nanti…jika kita mahu menjadi orang yang bahagia di akhirat, hendaklah kita mencintai orang-orang yang bahagia, jika kita cintakan ahli maksiat maka tunggulah pada hari kebangkitan, kita akan dibangkitkan sebagai orang yang celaka, NAUZUBILLAH.

No comments: