www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Wednesday, June 3, 2009

Mutiara Iman Edisi 585 ( Jangan Senang Hati )

by Addawrah

فاتقوا الله واصلحوا ذات بينكم

Firman ALLAH SWT: " Maka bertaqwalah kepada ALLAH dan perbaikilah hubungan di antara sesamamu."
(Surah Al Anfal ayat 1)


Ulasan Ayat :
1. Berdasarkan ayat di atas ALLAH telah memerintahkan kepada kita agar bertaqwa dan hendaklah kita menjaga hubungan dikalangan umat Islam. Menjaga hubungan ini ialah, menjaga persaudaraan agar sentiasa baik dari segi muamalah zahir dan batin terhadap diri kita dan saudara kita.
2. Kita tidak boleh senang hati apabila terdapat saudara sesama Muslim yang tergelincir melakukan kesalahan, walaupun ia adalah musuh kita.
3. Ini kerana tali ukhuwah Islamiah masih lagi terjalin kukuh, sebagaimana tidak patut bagi seorang Muslim bersenang hati apabila ALLAH SWT dikhianati.
4. Berbagai kekeliruan dan maksiat yang dilakukan oleh orang-orang Islam merupakan kecacatan dan aib bagi seluruh umat Islam, di samping itu juga adakah kita sedar bahawa musuh Islam sebenarnya gembira apabila kita melakukan kesalahan dan kekeliruan. Oleh itu, apakah kita juga sama seperti mereka ‘senang hati’ apabila sesama kita melakukan kesilapan?
5. Seseorang yang merasa senang hati dan puas hati apabila sesama kita tergelincir melakukan dosa, kesalahan hingga berlaku permusuhan, maka dirinya akan menerima sesuatu akibat yang berat, samada di dunia akan ditimpakan ujian, atau menerima pembalasannya di akhirat kelak, NAUZUBILLAH.
6. Kita hendaklah meminta dan memohon pada ALLAH kebaikkan bagi diri kita dan bagi saudara-saudara seiman dan seakidah, menangislah di atas kesalahan dan kekotoran hati yang telah kita lakukan. Selama ini, kita asyik merasa kebaikkan itu datang daripada kita, dan keburukkan daripada orang lain. Walhal, kita yang sering melakukan kesalahan, hingga kita sanggup menyalahkan orang lain.
7. Kita hendaklah menyedari terlebih dahulu, mengakui, serta merasai bahawa sesungguhnya terlalu banyak kekurangan dan kesilapan diri kita apabila kita meneliti satu persatu, hingga yang sebenarnya kita tidak akan berkesempatan untuk mencari kesalahan orang lain pula. Inilah tanda kita hamba yang benar.

No comments: