www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Monday, May 11, 2009

MUTIARA IMAN (EDISI 570): BERSANGKA BAIK - by Dawrah (Syariah)

عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال : قال الله عز وجل أنا عند ظن عبدى بي وأنا معه حين يذكرنى

رواه البخارى ومسلم

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: Berfirman ALLAH Azzawajalla: “Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hambaKu sangka terhadapku. Dan aku beserta dengannya ketika ia menyebutKU(berzikir kepadaKU).
(Riwayat Bukhori dan Muslim)

Ulasan Hadis :

1. Hadis di atas ini adalah hadis Qudsi, di mana ALLAH SWT telah menyampaikan kepada Nabi, dan Nabi telah menyebut apa yang disampaikan oleh ALLAH, melalui ucapan baginda.

2. ALLAH SWT berkuasa atas segala sesuatu, selain daripada DIA melakukan apa yang DIA kehendaki terhadap kita, DIA juga melakukan sesuatu terhadap kita mengikut sangkaan kita terhadapNYA.

3. Apabila sesuatu urusan kita sandarkan dan serahkan segalanya kepada ALLAH, maka DIA akan menguruskannya mengikut apa yang kita sangkakan, jika kita bersangka baik, maka baiklah yang ALLAH akan tentukan, namun jika kita bersangka sebaliknya, maka ALLAH akan berbuat mengikut apa yang kita sangkakan.

4. Justeru itu, kita sebagai hamba, hendaklah sentiasa bersangka baik terhadap ALLAH, dan segala perbuatanNYA adalah baik, kerana pada hakikatnya, apa yang kita nampak baik, belum tentu ianya baik dari pandangan ALLAH, dan apa yang kita sangka buruk, belum tentu ianya buruk jua pada pandangan ALLAH.

5. Kita hendaklah merujuk semua urusan kita kepada ALLAH, setelah itu hendaklah kita rasakan bahawa yang DIA bakal tentukan buat kita adalah baik, sekalipun yang berlaku itu sebaliknya, kerana kita tidak tahu rahsia ALLAH terhadap kita yang sangat jahil.

6. Marilah sama-sama kita meletakkan sepenuh keyakinan kepada ALLAH, dari sekecil-kecil urusan hinggalah sebesar-besar urusan. Sesungguhnya apa yang DIA tadbir itu jauh lebih baik dan tersangat baik buat kita sebagai hambaNYA.
WALLAHU’ALAM

No comments: