www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Tuesday, May 5, 2009

MUTIARA IMAN (EDISI 566) : JANGAN MARAH

: عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم
ليس الشديد بالصرعة إنما الشديد الذى يملك نفسه عند الغضب
(رواه البخارى)

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda: “Bukanlah orang yang gagah itu, orang yang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.”
(Riwayat Bukhori dan Muslim)

Ulasan Hadis :

1. Hadis ini telah menjelaskan tentang sikap marah. Nabi SAW berpesan kepada kita agar mengawal diri daripada sifat marah.

2. Marah merupakan salah satu daripada sifat mazmumah (sifat tercela) yang ianya penyebab kepada seseorang hamba itu terhijab daripada mendapat kasih sayang ALLAH, kerana ALLAH sangat kasih kepada hamba-hamba yang berlemah lembut sesama makhluk, dan sesungguhnya sifat kasih sayang dan kelembutan ALLAH itu mengatasi sifat marah dan murkaNYA.

3. Manusia hari ini melihat kekuatan dan kehebatan seseorang itu apabila dia gagah dari segi zahiriyahnya seperti kuat berlawan, kuat anggota badan, akan tetapi kekuatan yang sebenar-benarnya sepertimana yang telah dinyatakan di dalam hadis ini, ialah apabila seseorang itu dapat mengawal marah, menundukkan rasa marahnya, memadamkan perasaan marahnya.

4. Sifat marah yang dituntut ialah marah kerana menegakkan kebenaran, seperti Nabi SAW, baginda tidak pernah marah sekalipun baginda dihina, namun apabila ianya melibatkan perkara agama yang perlu ditegakkan, maka Nabi akan marah, para sahabat akan mengetahui Nabi sedang marah, apabila terlihat di antara 2 kening Nabi timbul satu urat yang berwarna merah, maka itulah tanda Nabi marah, tidak pernah diperlihatkan pada tingkah laku dan kata-kata yang boleh menyakitkan hati sesiapa.

5. Islam menganjurkan kepada kita agar segera memadam api kemarahan dengan kesabaran. Jika perasaan marah itu menguasai diri, maka berwuduklah, kerana sesungguhnya marah itu datang dari api, maka atasilah ia dengan air wuduk.

6. Sesungguhnya sifat marah hanya merugikan kita jika terbabas daripada mengendalikannya, hanya dengan kemarahan yang sedikit boleh menghilangkan kehormatan orang terhadap kita jika kita tersalah langkah, dan dengan marah juga menghilangkan separuh akal kita, kerana sudah dikuasai oleh nafsu semata-mata, maka apabila nafsu sudah meraja, hasilnya adalah kita akan hilang rasa kelembutan ALLAH di hati kita, maka kita akan bertindak diluar kawalan diri, melainkan jika kita bersegera beristigfar memohon ampun dan maaf, dan segera memberi maaf.

7. Semoga sifat ini tidak merajai kita. Bersifatlah dengan sifat kelembutan, kerana orang yang memiliki sifat halim(lembut) ianya mewarisi sifat orang mukmin yang sejati.

WALLAHU’ALAM

No comments: