www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Tuesday, August 18, 2009

Mutiara Iman Edisi 610 ( Bahagia Jika Redha )

by Addawrah

عن أبى سعيد الخدرى رضى الله عنه أنّ رسول الله عليه وسلم قال له: يا أبا سعيد من رضى بالله ربّا وبالإسلام دينا وبمحمد نبيّا، وجبت له الجنة

Daripada Abu said Al-Khudri RA, Rasulullah SAW berkata kepadanya: " Wahai Abu Said! Siapa yang meredai ALLAH sebagai TUHAN, ISLAM sebagai Agama, dan Muhammad sebagai Nabi; maka wajiblah baginya syurga."
(Riwayat Muslim)

Ulasan Hadis :
1. "Meredai"- ialah bersetuju dan memadai dengannya serta tidak mencari suatu yang lain. Maksudnya ia tidak berkehendak selain kepada ALLAH SWT, tidak memeperdulikan selain jalan Islam, dan tidak menuruti selain apa yang selari dengan syariat Muhammad SAW. (Syarah Tuhfah al-ahwazi)

2. Menurut Qadhi I’yad: Hal yang demikian adalah kerana sesiapa yang meredai sesuatu perkara maka urusannya menjadi mudah. Begitu juga orang beriman tatkala iman menguasai hati maka múdala ia melakukan ketaatan dan merasai kelazatannya. (Syarah sahih Muslim)

3. Seseorang hamba yang redha terhadap ALLAH, maka hendaklah menjadi seperti mayat yang menyerahkan dirinya untuk diselenggarakan segalanya oleh si Tukang mandikannya. Tidak ada sebarang bantahan mahupun arahan semuanya terserah kepada si Tukang mandi. Maka begitulah kita seharusnya dengan ALLAH SWT.

4. Seseorang hamba yang redha ISLAM sebagai agama, ibarat seperti anak-anak yang kecil mahu mengikut ibu walau di mana sahaja dia berada, maka seperti inilah keadaanya hamba yang redha terhadap agama Islam, di mana sahaja berada tetap mengikut aturan, acuan dan kehendak Islam.

5. Manakala seseorang hamba yang redha terhadap Rasulullah sebagai Nabi, maka hendaklah ia menjadi umpama kekasih merindukan kekasihnya, seorang kekasih tidak akan pernah bersalahan dengan kehendak pasanganya, apa sahaja kehendak pasangannya akan dituruti tanpa sebarang bantahan. Maka sebagai hamba yang redha bahawa Rasulullah itu Nabi dan utusan ALLAH, apa sahaja yang diajarkan dan di sampaikan oleh Nabi wajib kita turuti tanpa membantah.

6. Ganjaran bagi hamba-hamba yang redha dengan ALLAH, ISLAM dan UTUSAN ALLAH maka ganjaranya adalah Syurga , ianya merupakan nikmat dan ganjaran terhebat buat hamba-hambaNYA yang benar-benar redha lagi menuruti kehendak ALLAH. Namun ada yang lebih utama yang akan diganjarkan terhadap hamba yang benar-benar redha setelah benar-benar beriman, iaitu ALLAH cinta dan rindu mahu bertemu mereka dan mereka juga cinta dan rindu bertemu ALLAH. Mereka ini tidak dapat kita kecam, kerana lagaknya sangat biasa, tetapi dihati penuh kecintaan pada ALLAH kerana sentiasa redha dengan kehendakNYA.

WALLAHU’ALAM.

No comments: