www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Tuesday, August 18, 2009

Mutiara Iman Edisi 606 ( 3 Perkara Yang ALLAH benci)

by Addawrah

عن المغيرة بن شعبة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: إن الله كره لكم ثلاثا قيل وقال وإضاعة المال وكثرة السؤال
(رواه البخارى ومسلم)


Daripada Al-Mughirah bin Syu’bah, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH membenci kepada kamu tiga perkara : " Di katakan dan orang itu berkata", membuang harta dan banyak bertanya."
(Riwayat Bukhori dan Muslim)


Ulasan Hadis :
1. "Dikatakan dan orang itu berkata" : terlalu banyak membicarakan tentang pengkhabaran manusia dan menceritakan suatu yang tidak bermanfaat. "Membuang harta" : membelanjakan harta dengan cara yang tidak diluluskan oleh syariat. "Banyak bertanya" : Menanyakan perkara yang tidak berlaku dan tidak diperlukan. (Syarah Sahih Muslim).

2. ALLAH SWT tidak menyukai orang yang sering bercakap tentang orang lain, lebih-lebih lagi memburukkannya, mengaibkan tentang dirinya serta bercerita perkara yang tiada memberi faedah apabila bercerita tentangnya, kita hendaklah bercerita tentang orang-orang yang baik lagi memberi semangat serta kesan di hati kita untuk beramal, apabila bercakap tentangnya, contohnya tentang para ANBIYA’, ULAMA’, Orang soleh, dan orang yang baik.

3. Membuang harta yang dimaksudkan oleh Nabi SAW, ialah mereka yang mengeluarkan harta, menggunakannya pada jalan yang salah seperti membazir, menggunakan hartanya pada perkara yang tidak halal.

4. Banyak bertanya juga termasuk di dalam perbuatan yang dibenci oleh ALLAH, jika ianya bertanya pada perkara yang sia-sia, perkara yang tidak memberi ilmu dan memperlihatkan kebodohan diri sendiri, manakala sikap bertanya yang digalakkan ialah, bertanya pada perkara ilmu, bertanya kerana tidak tahu akan perkara yang menjadi kemusykilan, dan jika tidak bertanya akan berpanjangan kejahilan.

5. Menjauhi perkara yang dibenci oleh ALLAH lebih susah dan berat daripada melaksanakan perkara yang dicintai oleh ALLAH. Justeru itu, kita sebagai hamba hendaklah memohon pertolonganNYA dalam setiap perbuatan kita untuk menjauhi laranganNYA serta melaksanakan segala perintahNYA. Hanya DIA sebaik-baik Penolong.

WALLAHU’ALAM.

No comments: