www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Tuesday, August 18, 2009

FADHILAT REJAB

Disediakan oleh Jabatan Pematuhan Syariah

Kalau diperhatikan kepada masyarakat kita Malaysia dalam bulan Rejab , ramai dikalangan kita mempunyai kepercayaan terhadap fadhilat bulan Rejab serta mereka melakukan amal ibadat tertentu dalam bulan Rejab berdasarkan hadith-hadith yang lemah lagi munkar(palsu).

Kata Qadhi Al-Fadhil bin Ayadh rahimahullah - :"sesungguhnya sesuatu amalan itu sekiranya dilakukan dengan rasa ikhlas tetapi tidak betul dan tepat maka ia tidak akan diterima dan sekiranya amalan itu dilakukan dengan betul dan tepat tetapi tidak dengan niat ikhlas maka ia tidak diterima juga, sehinggalah amalan itu dilakukan dengan rasa ikhlas dan betul serta bertepatan barulah ia diterima oleh Allah. Katanya lagi : yang dikatakan ikhlas ialah semata-mata kerana Allah swt dan yg dimaksudkan dengan betul atau betetapan itu ialah mengikut sunnah Nabi".(sila lihat kita Jami' Ulum dan Hikam Ibnu Rejab : ms 72)

Syarat diterima sesuatu amalan itu oleh Allah ada dua syarat:-
1. Niat ikhlas kepada Allah . Dalilnya firman Allah maksudnya : "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar"( surah Al-Baiyinah :5)

2. Mengikut Sunnah Nabi. Dalilnya sabda Nabi maksudnya: "Barangsiapa yang beramal dengan satu amalan yang bukan dari pertunjuk kami maka ia tertolak" atau hadith :"barangsiapa yang mengreka-reka satu amalan dalam agama dimana amalan itu bukan dari agama maka ia tertolak ( tidak diterima)" [ hadith dari Aisyah r.aha riwayat Al-Bukhari dan Muslim , Kitab Syarah Sunnah oleh Al-Baghawi : jz 1/ ms 211 ]

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam.Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad S.A.W. Tidak kurang juga ramai yang menjadikan bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual di mana mereka dapat melipat gandakan amal ibadah mereka seperti berpuasa, solat, dan beristighfar.

Tarikan dan seruan yang ditiup ke dalam jiwa umat Islam ini khususnya masyarakat Melayu kita, untuk melakukan dan memperbanyakkan ibadah di dalam bulan Rejab ini dipengaruhi oleh penyebaran hadis-hadis dan amalan yang diwarisi daripada ulama’ terdahulu yang banyak menceritakan tentang fadhilat dan kelebihan sesuatu amalan tersebut.

Timbul persoalan di hati kita, adakah segala amalan dan dalil yang menceritakan tentang kelebihan beramal dalam bulan Rejab ini sememangnya wujud dalam agama Islam? Adakah ianya bersandarkan Al-Quran Al-Karim ataupun Hadis Rasulullah S.A.W? Mungkinkah ia sekadar cerita ataupun berita yang ditokok tambah oleh amnesia yang bercakap atas nama Nabi Muhammad S.A.W? Perbahasan ini akan menghuraikan kesahihan fadilat yang terdapat dalam bulan Rejab berdasarkan penjelasan daripada Al-Quran dan hadis Baginda S.A.W serta beberapa penjelasan ulama’ berkaitan fadhilat bulan Rejab ini.

Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' didalam Islam. Dalilnya terdapat didalam Firmah Allah swt didalam Surah Al-Taubah ayat 36:

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa."

Dalam Tafsir Jalalain, yang dimaksudkan dengan "di antaranya empat bulan yang dihormati" ialah "Empat bulan Haram - Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab”.ALLAH TAALA telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam adalah diharamkan pergi berperang didalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji dijalankan (Zulhijjah), dimana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa.

Di dalam Syuab al-Iman, Imam al-Baihaqi meriwayatkan tentang keistimewaan bulan rejab. Hadis itu berbunyi : Allah telah memilih bulan rejab. Rejab adalah bulan Allah. Barangsiapa yang memuliakan bulan Allah sesungguhnya dia telah memuliakan perintah Allah. Barangsiapa yang memuliakan perintah Allah sesungguhnya dia akan dimasukkan ke syurga al-Naim..”(al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, 1410H, Cetakan pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 374 juz 3, no hadis 3814). Lihat juga hadis bernombor 3812 sebagai sokongan terhadap keistimewaan bulan rejab pada malam harinya.

Hadits dari Anas bin Malik r.a. berkata; “Bahwa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rajab selalu berdo’a, ‘Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.’ Artinya, ‘ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan’ “. (HR. Ahmad dalam Musnad-nya juz 1: 259 hadits no 2346 dan Tabrani). Hadits ini disebutkan dalam banyak keterangan, seperti dikeluarkan oleh Abdullah bin Ahmad di dalam kitab Zawaa’id al-Musnad (2346). Al-Bazzar didalam Musnadnya sebagaimana disebutkan dalam kitab Kasyf al-Astaar(616). Ibnu As-Sunny di dalam ‘Amal al-Yawm Wa al-Lailah (658). Ath-Thabarany di dalam (al-Mu’jam) al-Awsath (3939). Kitab ad-Du’a’ (911). Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah (VI:269). Al-Baihaqy di dalam Syu’ab (al-Iman) (3534). Kitab Fadhaa’il al-Awqaat (14). Al-Khathib al-Baghdady di dalam al-Muwadhdhih (II:473).

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari Imam al-Syafi’ie berbunyi : “Telah sampai kepada kami bahawa al-Syafi’ie mengatakan : “Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam : malam jumaat, malam aidil adha, malam adil fitri, malam pertama bulan rejab dan malam nisfu Sya’ban.”(al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 1994, Maktabah Dar al-Baz : Makkah al-Mukarramah, hlm 319 juz 3)

Adapun hadis yang menunjukkan Nabi SAW melarang umatnya berpuasa di bulan rejab bukanlah satu larangan yang bersifat mutlak. Bahkan bertentangan dengan anjuran berpuasa sunat dalam Islam. Tambahan pula, hadis tersebut diriwayatkan oleh Daud bin ‘Atha al-Madani. Beliau merupakan perawi hadis yang dhaif. Para ulamak bersepakat mendhaifkan periwayatannya termasuk Imam Ibn Jauziy menerusi kitabnya al-‘Ilal al-Mutanahiyah (Ahmad bin Abu Bakar al-Kinani, Misbah al-Zujajah, 1403H, Dar al-‘Arbiah : Beirut , hlm 78 juz 2)
Imam al-Zahabi memperakui hadis berkenaan puasa rejab sebagai hadis yang marfuk. Hadis itu berbunyi : “Barangsiapa yang berpuasa satu hari dalam bulan rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan setahun. Dan barangsiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan rejab Allah SWT akan menulis baginya pahala puasa bagaikan dua tahun.” (al-Zahabi, Mizal al-I’tidal Fi Naqd al-Rijal, 1995, Cetakan Pertama, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah : Beirut , hlm 417 juz )
Selain itu, al-Zahabi juga membawakan sanad yang mursal daripada Uthman bin Mathar, daripada Abd Ghafur bin Abd Aziz dari ayahnya tentang kelebihan berpuasa sehari dalam bulan rejab. (Ibid, hlm 70 juz 5 no hadis : 5570)

Tetapi beliau juga membawakan hadis palsu tentang puasa rejab yang berbunyi : “Barangsiapa yang berpuasa sehari di bulan rejab Allah kurniakan pahala baginya bagaikan berpuasa seribu tahun.” Imam al-Zahabi mengatakan : “Aku tidak mengetahui siapa (sebenarnya) yang mereka cipta hadis ini.” (ibid, hlm 197 juz 5 no hadis : 5973)
Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa didalam bulan Rejab itu sunat atau bid'ah, beliau telah menjawab :

"Berpuasa didalam bulan Rejab adalah maqbul (diterima) dan mustahab (dibolehkan), ke atas semua perkara.Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah saw bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadhan.Beliau banyak berpuasa didalam bulan Sya'ban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah Sunnah Nabawiyyah. Beliau berpuasa dan berbuka disetiap bulan, seperti riwayat mengatakan: “Beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, Beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan Rejab, sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, Aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari didalam bulan Syawal, dan menamakannya "al-Ayyam al-Baidh", selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yang ke-8 dari Syawal.Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan.Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram, tetapi tidaklah sepenuh bulan Rejab dan Sya'ban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W, atau sahabat-sahabatnya ataupun para ulama' Salaf.


Dr Wahbah Zuhaily (Pengarang kitab Al-Fiqhul Islam Wa Adillatuhu) mengatakan bahawa, kebanyakan imam empat mazhab Syafie, Hanbali, Maliki dan Hanafi bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat didalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara perlaksanaannya.

"Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat disisi Mazhab Maliki dan Syafie, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa dibulan Haram, pada mereka itulah puasa yang afdhal selepas Ramadan, telah bersabda Rasulullah saw: “Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadan ialah dibulan Allah Al-Haram.” Seafdhal puasa dibulan haram ialah Hari Al-Asyura', sebagaimana diantaranya.Dan berkata mazhab Hanafiah : Sunat berpuasa di dalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu."

Barang siapa yang berpuasa sehari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yang berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yang berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yang berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan di hisab dengan hisab yang mudah. -Hadis ini Mawdhu' (palsu)

Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu - hadis ini Dha'if.

Menurut seorang tokoh Ikhwan Muslimin Dr Sayid Saabiq didalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa: "Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram".Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadilat-fadilat yang sama.Pendapat juga di sokong oleh mazhab Hanbali yang mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh. Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani juga meletakkan di dalam risalahnya dengan tajuk : Penjelasan yang datang didalam Fadilat Rejab, pengumpulan jumhur hadis menyebut mengenai fadilat-fadilat Rejab, puasa dan solat di dalamnya, ia dikelaskan sebagai lemah dan mawdhu’.


Barangsiapa yang solat Maghrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab." - Itu adalah hadis Mawdhu'

Barang siapa yg melakukan solat pada malam Nisfu Rejab 14 rakaat dengan membaca Alfatihah 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A'uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A'uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat keatas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat. – Hadis ini Mawdhu’ (palsu)
Mengenai fadilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al-Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya di dalam Islam.Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah-sejarah yang berlaku dibulan Rejab dan mengambil pengajaran daripadanya.

"Ini adalah manusia yang prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama di dalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya di dalam agama, dan ganjaran yang besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini.Adalah lebih baik di dalam bulan Rejab ini sekiranya kita mengingati kembali sejarah yg berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Salahuddin Al-Ayyubi menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran darinya, dimana orang Islam menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab.Allah Yang Maha Mengetahui."


KESIMPULAN:

1. Hadis-Hadis Bulan Rejab kebanyakannya adalah Mawdhu' (Palsu) dan menjadi suatu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah S.A.W.

2. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yang tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus melainkan bersandarkan dalil yang sahih.

3. Tidak ada fadilat KHAS yang ditujukan pada bulan Rejab, yang ada Cuma fadilat umum kepada ke empat-empat bulan haram.

4. Tidak ada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab

5. Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yang lain disunatkan melakukan puasa sunat dan banyakkan bertaubat.

6. Kaedah berpuasa di dalam bulan-bulan haram ialah:
- Hari yg ke 9,10,11 di dalam bulan Muharam
- Berpuasa hari Khamis, Jumaat, Sabtu
- Berpuasa bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'ban tidak sepenuh bulan
- Berpuasa pada hari Assyura' (10 Muharam) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).

7. Tidak ada dalil yang mengatakan bahawa menziarah kubur didalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.


Dalam mempertingkat amalan-amalan kita kepada Allah swt, sering kali kita disajikan dengan pelbagai-bagai amalan yang kelihatan banyak fadilatnya.Malah ada juga kedapatan beberapa fadilat-fadilat yang sangat rapuh dalilnya, bahkan ia menjadi pegangan sebahagian umat Islam pada hari ini. Bagi persoalan-persoalan seperti fadilat Rejab atau bulan-bulan yg lain, kita mesti kembali kepada 'role model' atau contoh kita, iaitu Rasulullah saw sebagaimana firman Allah swt didalam surah Al-Ahzab ayat 21:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)" [Al-Ahzab - 21].

Akhir kata, semoga dengan kehadiran Rejab ini dapat mengingatkan kita agar lebih bersedia untuk menghadapi bulan Sya’ban dan Ramadhan yang sememangnya digalakkan ke atas kita untuk memperbanyakkan amalan di dalam bulan-bulan tersebut.Moga ALLAH TAALA mengampuni segala kesalahan Dan dosa kita serta menerima segala amal kebajikan kita .AMIN YA RABB!

No comments: