www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Tuesday, April 22, 2014

MUTIARA IMAN EDISI: 1662: Jom Ramai-ramai


 

يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬‌ۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٌ۬ (١١)

 

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat dan (ingatlah), ALLAH Maha mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan. ( Surah Al Mujadalah : 11)

 

 

ULASAN AYAT :

 

1.    Ilmu pengetahuan merupakan salah perkara yang terpenting yang amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagian hidup, sama ada di dunia mahupun di akhirat.  

2.    Islam, menurut takrifnya yang sebenar, ialah Ad-Din, iaitu suatu sistem hidup yang lengkap, menyeluruh, mencakupi seluruh kegiatan ibadat, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya. 

3.    Semua kegiatan ini tidak akan bernilai dan sempurna di sisi Islam tanpa berasaskan aqidah, syariah dan akhlak. Sama ada berbentuk spritual mahupun fizikal, matlamat dan tumpuan akhirnya adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada ALLAH.

 4.    Oleh itu, bagi mencapai kebahagian yang sebenar sama ada di dunia mahupun di akhirat, Islam telah menjadikan ilmu pengetahuan sebagai alat dan penggerak utamanya. Ilmu diangkat ke tahap yang paling tinggi di antara urusan hidup manusia. Tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan tersebut akan menemui kegagalan dan tidak akan sampai kepada matlamatnya yang sebenar, iaitu keredhaan ALLAH.
 
 5.    Selain itu, ilmu pengetahuan juga merupakan alat bagi mencapai tahap keimanan yang sempurna dan kayu ukur kepada ketaqwaan seseorang terhadap Penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi dalam diri kita.
 
6.    Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketaqwaannya kepada ALLAH. Ianya bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit. ALLAH telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi.
 
7.    Ilmu sangat penting bagi manusia mencapai tujuan ia dijadikan oleh ALLAH iaitu untuk mengabdikan diri kepada ALLAH. Tanpa ilmu adalah sukar bagi kita untuk mencapai ketaqwaan yang sebenar kerana ilmu memainkan peranan penting dalam peningkatan iman dan pendorong bagi seseorang itu untuk mengenal ALLAH dengan lebih dekat lagi. Oleh itu,JOM RAMAI-RAMAI kita berusaha mencari ilmu dengan menghadiri kuliah yang telah dirancangkan dan beramal, insyaALLAH, agar kita menjadi dikalangan orang-orang yang tinggi disisi ALLAH.
 
Wallahua’lam
SIDDIQ  AMANAH  TABLIGH  FATHONAH
 
 
Thanks to Ustaz WAN MOHD NAZMAN WAN MAHMUD of Syariah Compliance | Takaful Ikhlas Sdn Bhd

No comments: