www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Friday, October 28, 2011

ZULHIJJAH

by Ad Dawrah

FIRMAN ALALH SWT BERMAKSUD : " Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) ALLAH ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab ALLAH semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH berserta orang-orang yang bertakwa. "
( Surah Taubah : 36 )

ULASAN AYAT :
1- ZULHIJJAH bermaksud yang memiliki haji kerana ibadah haji ditunaikan di dalam bulan berkenaan. Amalan yang mulia ini telah dilakukan oleh Nabi ALLAH Ibrahim a.s. dan diteruskan oleh anak cucunya daripada keturunan Nabi Ismail a.s. berlanjutan sehingga ke zaman Baginda Nabi Muhammad SAW dan sehinggalah ke zaman kita hari ini. Kemuncak ibadah haji adalah pada hari Arafah, hari kesembilan di dalam bulan Zulhijjah yang digambarkan sebagai perhimpunan umat Islam yang teragung, lambang kesatuan akidah dan perpaduan, tanpa mengenal batasan pangkat dan harta, kesemuanya mengharapkan keredhaan ALLAH SWT.

2- Diceritakan oleh Ibnu Abbas bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud : Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini, iaitu sepuluh hari Zulhijjah. Para sahabat Baginda bertanya: Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan ALLAH ? Jawab Baginda: Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan ALLAH kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun. “(Riwayat Bukhari).



Amalan yang dianjurkan pada bulan ini antara lain ialah:

Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis yang menyatakan kelebihan ibadah ini.

Berpuasa pada awal zulhijjah sehingga pada hari wuquf di arafah 9 Zulhijjah adalah sangat dianjurkan, sekadar kemampuannya, terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia merupakan pilihan ALLAH sendiri. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda : Puasa pada hari Arafah, saya mengharap ALLAH akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya. Firman ALLAH yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama ALLAH pada beberapa hari yang termaklum). (Surah Al-Hajj : 28).

No comments: