www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Wednesday, April 22, 2009

MERUNTUN HATI BERSAMA ILMU - Nazrul Namizan

وَقُل رَّبِّ زِدۡنِى عِلۡمً۬ا
Firman ALLAH SAW:
“Dan katakanlah, “ya TUHANku, tambahkanlah kepadaku ilmu yang pengetahuan.”
(Surah Taha ayat 114)

Ulasan Hadis :

1. Daripada ayat di atas, dapat kita fahami bahawa ilmu merupakan suatu perkara yang sangat penting malah sentiasa dilazimi dan mesti bertambah. Sehingga ALLAH mengajarkan kepada kita doa untuk minta ditambahkan ilmu. Manusia yang hidup tanpa ilmu ibarat orang buta yang meredah padang pasir.

2. Mutiara iman pada kali ini, ingin menyentuh beberapa perkara lagi mengenai fitrah manusia yang sentiasa perlu kepada pembersihan dan kesedaran hati, biarpun sudah bersih dan sedar hati, namun ilmu tidak pernah kering dan hati tidak selalunya basah.

3. Menurut Ibnu Qayyim, bahawa meruntun hati agar kembali kepada fitrah semulajadi mestilah dilakukan setiap masa dan bukannya hanya sekali sekala, apabila ingatan datang untuk berbuat demikian.

4. Seseorang itu mestilah berusaha untuk melepaskan diri dari belenggu kejahilan dan kongkongan syaitan serta nafsu yang sentiasa mahu menguasai manusia. Jika ianya dapat dikuasai oleh manusia, maka besarlah hamba itu disisi ALLAH, kerana tiada dugaan yang lebih besar kecuali nafsu yang tidak pernah puas, jika singga yang ganas apabila dilepaskan kepada sekumpulan kambing, ia hanya memakan seekor sahaja, tetapi nafsu yang tidak dikawal apabila dilepaskan ia boleh menghabiskan sekian banyak manusia dan seisinya tiada batasan.

5. Berusahalah kita mendidik hati dan jiwa dengan amalan ketaatan dan kebaikkan, seperti solat berjemaah setiap waktu dan membaca Al-Quran selalu, menurut Ibnu Qayyim, jika amalan ini hanya dilaksanakan sekali sekala ketenangan jiwa hanya akan berlaku ketika itu sahaja, dan jika ianya ditinggalkan maka hati akan menjadi keras dan liar.

6. Apabila hati tidak dididik dengan ilmu dan amal maka kita tidak lagi ada rasa takut untuk melakukan kemungkaran, malah bersahaja tanpa rasa kesal, dan lebih parah lagi petanda hati dan jiwa tertutup apabila kita tidak mahu lagi mendengar kebaikkan, malah tidak mahu lagi kepada kebenaran, NAUZUBILLAH.

7. Oleh itu, satu-satunya cara untuk memelihara hati ialah dengan banyak mengingati ALLAH, tips untuk ingat pada ALLAH, ialah dengan mensyukuri nikmat ALLAH, kerana nikmat ALLAH itu tidak terkira, dan pastinya kita tidak dapat lagi menghitung nikmatNYA.

WALLAHU’ALAM.

No comments: