www.mata-utara.blogspot.com

Page views

Tuesday, June 30, 2009

Mutiara Iman Edisi 600 (Solat Jumaat)

by Addawrah

ياأيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون

Firman ALLAH SWT:
" Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan kepada kamu untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu menginagati ALLAH dan tinggalkanlah segala urusan jual beli. Demikian itu lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui."
(Surah Al-Jumu’ah ayat 9)

Ulasan Ayat :
1. Ayat dia atas ini adalah ayat tentang kewajipan solat Jumaat. Solat Jumaat ialah solat fardhu yang terdiri daripada 2 rakaat dikerjakan pada hari Jumaat, iaitu pada waktu zohor setelah selesai dari 2 khutbah yang disampaikan oleh Khatib. Bagi yang telah mengerjakan fardhu Jumaat, maka tidak wajib ia melaksanakan fardhu zohor.
2. Hukum solat Jumaat adalah fardhu ain ke atas setiap orang Islam yang mukallaf, lelaki, merdeka, sihat tubuh badan dan bukan dalam keadaan bermusafir. Sesiapa yang mengingkari dan menganggap remeh maka ia diketegorikan sebagai munafik.
3. Hukum orang yang meninggalkan solat Jumaat tanpa keuzuran akan dikira sebagai munafik, di dalam Hadis ada menyebut: " Sesiapa yang meninggalkan solat berjemaah bertutut-turut sebanyak 3 kali tanpa keuzuran nescaya ALLAH akan tutupkan pintu hatinya."
4. Perkara yang menggurukan kewajipan berjemaah adalah berikut: 1) Golongan wanita 2) Kanak-kanak 3) Orang yang sakit dan sumar baginya untuk pergi ke Masjid 4) Orang yang sedang bermusafir.
5. Dalam tempoh jumaat berlangsung ada terdapat waktu yang haram bagi orang lelaki (tidak kepada perempuan) melakukan aktiviti berjual beli, iaitu ketika azan pertama di laungkan, dan terdapat juga pendapat yang mengatakan ianya berlaku pada azan yang kedua, namun ádalah lebih baik jika mengambil pendapat pertama, iaitu ketika azan pertama bagi langkah berhati-hati.
6. P/S Jika kita melihat ada orang yang tidak pergi solat Jumaat, berurus niaga dsb, khususnya yang berada di TISB, nasihatilah….elakkan diri daripada bersubahat dengan mereka.WALLAHU’ALAM.

Mutiara Iman Edisi 599 (Menghormati dan Mengasihi Saudara)

by Addawrah


عن عبد الله عمر رضى الله عنهما عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه (رواه البخارى ومسلم)
Daripada Abdullah Bin Umar RA, Nabi SAW bersabda: "Seseorang Muslim adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya".
( Riwayat Bukhori dan Muslim)

Ulasan Hadis :
1. Hadis ini menjelaskan kepada kita beberapa adab penting sesama saudara muslim.
2. Terdapat banyak Hadis yang menyatakan bahawa kita semua adalah bersaudara, pengikatnya ialah Islam, maka kita semua mempunyai ikatan persaudaraan, walaupun kita tiada pertalian darah. Maka ini merupakan ajaran Islam yang sangat mulia, agar kita semua mempunyai kesatuan hati.
3. Di dalam hadis ini, Nabi telah berpesan kepada kita agar kita tidak menzalimi dan menghina saudara kita. Kezaliman dan penghinaan merupakan elemen utama kepada jalan perbalahan, penindasan, pepecahan dan kebencian.
4. Realiti kehidupan kita hari ini, kezaliman dan penghinaan sudah menjadi perkara biasa, kita telah melakukan perkara demikian tanpa kita sedari, sesama kita yang berdekatan kita tidak mampu menjaganya dari segi adab, pergaulan, pertuturan, perbuatan, lebih-lebih lagi saudara kita yang berada jauh seperti di Palestin, Bosnia, dan beberapa negara Islam yang lain.
5. Kepada saudara kita yang jauh, kezaliman yang kita lakukan antaranya ialah, kita tidak lagi menahan diri kita dari terus membeli barang-barangan yang menyumbangkan kepada Yahudi, walaupun perkara ini dalam pemerhatian dan kesedaran kita, tetapi mengapa kita masih mahu menzalimi nasib saudara kita yang ditindas. Cuba bayangkan jika kita berada di tempat mereka….?
6. Kita hendaklah menanam rasa persaudaraan ini dengan kasih sayang, saling menghormati di antara satu sama lain agar lahirlah rasa ingin memuliakan saudara, dan tidak pula kita menzalimi, membenci saudara kita, apalagi menghinanya. Sesungguhnya ALLAH SWT akan meletakkan (golongan yang berkasih sayang kerana NYA) di bawah satu naugan yang mana pada ketika itu tiada naugan yang selamat di mahsyar kelak melainkan naugan ALLAH SWT. WALLAHU’ALAM

Mutiara Iman Edisi 598 (Kekayaan: Jiwa atau harta?)

by Addawrah

عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: ليس الغنى عن كثرة العرض ولكنّ الغنى غنى النفس
(رواه البخارى ومسلم)
Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi S.A.W bersabda :Bukanlah kekayaan itu dengan memiliki harta benda yang banyak, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa ".
(Riwayat Bukhari & Muslim)


Ulasan Hadis :

1. Realiti kehidupan zaman sekarang, kita terlalu sibuk mengejar urusan keduniaan demi mengumpul kekayaan dan memuaskan kehendak nafsu sehinggakan terlupa tanggung jawab sebenar kita kepada ALLAH S.W.T.
2. Sebagai contoh, kita terlalu mudah melihat orang ramai bersesak-sesak membanjiri pusat membeli belah ataupun mengunjungi majlis-majlis hiburan, akan tetapi terlalu sedikit yang menghadiri solat berjemaah di surau mahupun masjid,ataupun mengikuti kelas-kelas pengajian agama.
3. Kekayaan jiwa dapat dibentuk dengan memperbanyakkan amalan yang mendekatkan kita kepada ALLAH S.W.T. Kita digalakkan memperbanyakkan amalan-amalan sunat disamping menjaga amalan-amalan yang wajib.Dengan mengingati mati, kita dapat bermuhasabah dan menginsafi segala kesalahan dan kesilapan kita serta memohon keampunan ALLAH S.W.T.
4. Janganlah kita tertipu dengan segala keindahan dan kemewahan dunia yang bersifat kebendaan ini kerana ianya hanyalah untuk sementara sahaja. Adalah lebih baik untuk kita membuat persediaan dengan secukupnya bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya.
5. Hakikatnya, kesenangan dan kemewahan hidup di dunia ini tidak menjamin ketenteraman jiwa kita, tetapi kekayaan dan ketenangan hati dengan kebaikan dan akhlak terpuji itu dapat menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Bak kata pepatah, lebih baik TENANG daripada SENANG!!!WALLAHU’ALAM

Mutiara Iman Edisi 597 (Bangkit Bersama di Akhirat )

by Addawrah

عن عبد الله بن مسعود رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: المرء مع من أحب
(رواه البخارى ومسلم)
Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda: " Seseorang itu adalah bersama dengan orang yang ia kasihi".
(Riwayat Bukhori dan Muslim)


Ulasan Hadis :
1. Sesungguhnya di akhirat kelak, kita akan dibangkitkan bersama mereka yang kita kasihi ketika kita di dunia.
2. Seandainya mereka yang kita cintai daripada golongan yang baik, maka dengan bangganya kita di sana nanti akan bangkit dalam kedaan yang tenang dan selamat, manakala jika di dunia kita mencintai orang-orang yang suka bermaksiat, maka kelak di sana nanti kita akan bangkit bersama mereka dengan penuh rasa malu dan hina sekali. NAUZUBILLAH.
3. Sesiapa yang mengasihi suatu golongan dengan ikhlas hati, maka ia akan dihimpunkan bersama mereka. Sekalipun amalannya tidak menyamai mereka, tetapi hatinya telah mendekati. Kemungkinan kasih sayang itu mendorongnya untuk melakukan amalan yang sama.
4. Kita hendaklah mencintai orang-orang yang soleh, serta mengikutinya, meniru gaya peribadi dan kehidupan mereka, kerana mereka adalah golongan yang mencintai ALLAH dan RASUL, bersama mereka boleh menyembuhkan hati kita yang sakit, menyedarkan jiwa kita yang lalai serta memperbaiki akhlak kita yang buruk.
5. Orang-orang yang soleh lagi baik ini, merupakan model yang paling baik untuk kita contohi, ibarat penjual minyak wangi, apabila berkawan dengannya maka kita juga akan mendapat tempiasan baunya. Begitulah jua sebaliknya.
6. Dewasa ini, manusia tidak mahu mencintai golongan orang soleh, tidak mahu mendekati, malah yang dicintai adalah golongan ahli maksiat, berhati-hatilah, agar kita tidak menyesal di sana nanti…jika kita mahu menjadi orang yang bahagia di akhirat, hendaklah kita mencintai orang-orang yang bahagia, jika kita cintakan ahli maksiat maka tunggulah pada hari kebangkitan, kita akan dibangkitkan sebagai orang yang celaka, NAUZUBILLAH.

Mutiara Iman Edisi 596 ( Keindahan sabar )

by Addawrah

عن أبى سعيد الخدرى رضى الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: "ما أعطي أحد عطاء خيرا وأوسع من الصبر
(رواه البخارى)
Daripada Abu Said Al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda: " Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sabar."
(Riwayat Bukhori)


Ulasan Hadis :
1. Setiap manusia tidak akan terlepas daripada menempuhi liku-liku kehidupan, samada ianya adalah gembira mahupun duka, senang mahupun susah, ianya silih berganti tiada pernah berhenti bagai siang dan malam.
2. Kita sering tertipu dengan jalan kehidupan yang berbagai, apabila datang bahagia, kita akan terlupa bahawa kebahgiaan itu tidak akan kekal, manakala apabila ditimpa kedukaan, kesusahan mahupun musibah, kita selalu menyangka bahawa ketetapan ini adalah sesuatu yang kekal. Sedangkan kedua-duanya adalah perbuatan yang datang daripada ALLAH, malah kedua-duanya adalah bukti kasih sayang ALLAH dan keduanya adalah ketetapan yang mesti kita jalani.
3. Susah untuk kita menjadi orang yang sabar, menerima bahagia dan musibah adalah sama, tiada perbezaan, selalunya apabila ditimpa musibah kita belajar bersabar, dan kadang-kadang tidak mahu bersabar, dan apabila menerima bahagia kita merasa ianya adalah anugerah, akan tetapi ianya juga adalah satu ujian dan musibah jua buat kita, yang perlu kita sabar.
4. Sesungguhnya sabar adalah sesuatu yang paling bernilai bagi mereka yang telah pun berjaya menempuh setiap perkara dengan sifat kesabaran. Apa sahaja ketentuan yang ditempuhi tetap hanya memandang ALLAH, dan bersabar.
5. Sabar itu sangat indah, keindahannya dapat dirasa apabila kita berjaya menahan derita terhadap sesuatu yang berlaku terhadap kita, lalu kita dengan senang hati dan berlapang dada menerima tanpa sebarang bantahan dengan penuh rasa gembira, walaupun ianya perit. SUBHANALLAH. Andai kita berjaya meraih sabar seperti ini, maka itulah sebaik-baik pemberian daripada ALLAH buat kita.
6. Berkorbanlah kerana ALLAH, atas apa sahaja ketentuan yang kita jalani, kerana hanya mereka yang bersabar sahaja yang akan menerima pemberian terbaik daripada ALLAH.WALLAHU’ALAM.

Mutiara Iman Edisi 595 ( Nafsu)

by Addawrah

" إن النفس لأمارة بالسوء "
Firman ALLAH SWT: " Sesungguhnya nafsu itu mendorong kepada kejahatan."
(Surah Yusuf ayat 53)


Ulasan Ayat :
1. Keinginan nafsu tidak pernah ada batasannya. Barangsiapa yang memenuhi setiap keinginan nafsunya, maka ia akan terjerumus ke dalam jurang kehancuran.
2. Apabila kita membuka jalan atau pintu masuk kepada nafsu, maka akan bermulalah usaha nafsu agar kita membuka lebih besar pintunya, sehinggalah pintu-pintu lain terbuka dan akhirnya kita akan jatuh ke jurang kemaksiatan.
3. Dan apabila kita telah terjatuh kepada maksiat maka nafsu akan meminta lagi agar kita melakukan maksiat yang lain DAN akhirnya tiada ada bentuk maksiat yang kita tidak pernah lakukan melainkan semuanya kita turuti, NAUZUBILLAH.
4. Ingatlah, bahawa nafsu sentiasa mengiginkan kita berada di dalam dakapannya, kita hendaklah menundukkan hawa nafsu, bukan kita ditundukkan oleh nafsu.
5. Apabila kita ingin memperbaiki diri, maka janganlah sesekali kita pernah mengendurkan tali pengikat nafsu kita, jangan pernah memenuhi setiap apa yang diinginkan oleh nafsu tersebut, kerana musuh kita yang utama adalah nafsu.
6. Orang-orang soleh yang terdahulu seringkali melarang diri daripada mengikutinya, kerana takut akan tergelincir ke lubang yang dibenci ALLAH, kerana mereka tahu bahawa ALLAH sangat benci kepda nafsu dan nafsu juga tidak mahu kepada ALLAH.
7. Berwaspadalah kita semua daripada terus memburu nafsu.....orang yang mengikut nafsu, adalah orang yang paling jauh sekali merasa dekat dengan ALLAH...renung-renungkanlah..WALLAHU’ALAM

Mutiara Iman Edisi 594 ( AL-QURAN teman kita )

by addawrah

عن عبد الله بن عمر رضى الله عنهما عن النبى صلى الله عليه وسلم قال: إنما مثل صاحب القرآن كمثل صاحب الإبل المعلّقة إن عاهد عليها أمسكها وإن أطلقها ذهبت
Daripada Abdullah bin Umar RA, Nabi SAW bersabda: “Golongan yang sentiasa menghampiri dengan Al-Quran adalah seperti orang yang menambat unta. Jika ia menambatnya, unta itu dapat dikawal. Jika ia melepaskanya, unta itu juga akan terlepas pergi.”
(Riwayat Al-Bukhori)

Ulasan Hadis :

1. Al-Quran ibarat buruan, tanpa kita ikat dia akan meninggalkan kita, dan apabila kita menambatnya(melaziminya) maka dia akan sentiasa menjadi pedoman buat kita.

2. Al-Quran mengajak untuk kita sentiasa berhusnudzan (berperasangka baik) dengan ALLAH dan berfikiran positif, mengajak kita untuk bertawakkal kepadaNYA, sentiasa optimis dan yakin akan janjiNYA, malah yakin menantikan pertolonganNYA dan meyakini bahawa selepas kesusahan pasti datang kemudahan.

3. Al-Quran memperingatkan kita untuk tidak bersedih hati dan menyesali apa yang telah terjadi, kerana semuanya itu memang sudah tertulis, jangan takut dan khuatir terhadap sesuatu yang akan datang.

4. Kita hendaklah menjadikan Al-Quran itu teman kita ketika suka dan duka, sentiasa melazimi membacanya walaupun satu ayat, sesungguhnya ia merupakan penyembuh segala kesakitan zahir dan batin.

5. Al-Quran itu adalah cahaya, maka apabila kita sentiasa melaziminya maka hati kita akan semakin bersinar, tidak akan malap, dan sentiasa akan hidup seumpama subur dan segarnya tanaman jika disirami air setiap hari.

6. Membaca Al-Quran hendaklah kita jadikan sebagai urusan harian kita yang tidak boleh kita tinggalkan, tidak dapat kita lupakan, apabila tidak dapat membacanya kita rasa rindu, apabila kita pergi ke mana-mana kita sering teringat kepada Quran, maka jika keadaan inilah yang kita rasakan, maka itulah tanda kita dikalangan orang yang sudah istiqomah dengan Al-Quran dan akan mendapat syafaatnya kelak, insyaALLAH.

7. Nabi SAW dan para sahabat sangat cintakan Al-Quran, sehingga Baginda sering menyuruh para sahabat membacakan Al-Quran kepadanya, lalu apabila sampai pada ayat-ayat tertentu, baginda akan menangis, Nabi juga sering membaca Al-Quran ketika solat dan di luar solat.

8. Manakala orang-orang soleh, meletakkan Al-Quran adalah sebagai surat cinta daripada Kekasih mereka iaitu ALLAH, mereka tidak jemu-jemu membaca Al-Quran, malah dapat mengkhatamkannya pada kebanyakkan waktu.

9. Kemanisan membaca Al-Quran tidak ada hadnya, apabila kita membacanya dengan ikhlas, sekalipun kita tidak tahu membacanya dengan baik, ia tetap dapat dikecapi kemanisanya serta mendapat pahala. Cubalah kita peruntukkan sedikit masa dan hari kita dengan banyak membaca Al-Quran, rasailah keindahanya, ketenanganya, nescaya kita tidak akan mahu berhenti daripada membacanya..WALLAHU’ALAM.